OKTOBER 2024

Pembangunan Lapangan Terbang Sarawak Tarik Para Pelabur - Premier


KUCHING, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2024 di Tapak Projek Neu Pendington Kuching hari ini. 

Terdahulu, ketibaan Premier disambut meriah dengan tarian selamat datang yang dipersembahkan oleh penari-penari dari Kampung Budaya Sarawak. 

Ketika berucap dalam majlis pagi ini, Sarawak bercadang  membangunkan lapangan terbang menggunakan dana sendiri menarik minat pelabur luar untuk turut serta, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata lapangan terbang baharu Sarawak itu akan menginspirasikan model lapangan terbang Abu Dhabi dan Doha serta berkonsepkan “SEAMLESS” dan teknologi terkini.

“Ini akan menjadikan Sarawak sebagai hab penerbangan moden yang boleh menarik lebih banyak pelaburan dengan menawarkan kemudahan serba digital dan cekap, memudahkan proses seperti daftar masuk (check-in) dan imigresen dengan teknologi moden.

“Konsep ini mempercepat pergerakan penumpang, menjadikannya lebih selesa bagi pelawat dan pengguna yang sentiasa berulang-alik,” katanya.

Beliau menambah lagi  lapangan terbang baharu itu dijangka mampu menampung kapasiti hingga 15 juta penumpang sekali gus merancakkan industri perhotelan dan ekonomi tempatan.

Hadir sama di majlis penutupan Karnival UDA  adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel,  Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif , UDA Holdings Berhad YBhg. Datuk Dr. Sr Mohd. Salem Kailany dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Rakayah Hamdan.